Hadiah hari guru
============
Semalam sewaktu di dalam kelas, seorang murid mendekati saya. Dia lalu bertanyakan soalan.
“ Cikgu..Cikgu nak hadiah apa? “
“ Sempena apa ni?” soal saya meskipun sudah boleh mengagak.
“ Hari guru,” jawabnya.
“Tak payahlah berhadiah-hadiah. Kamu belajar betul-betul tak main-main kat sekolah ni pun cikgu dah cukup syukur dah,” balas saya
“ Ala..cepatlah cikgu..Esok saya dengan mak saya nak pegi beli hadiah ni,” desaknya.
“Nantilah cikgu bagitahu”, balas saya sambil terus mengelilingi kelas dan memantau anak- anak yang sedang tekun menyiapkan latihan.
Dan hari ini saya berusaha menyiapkan senarai hadiah yang saya rasa cukup – cukup berbesar hati sekiranya ingin diberi oleh anak murid saya. Dan saya rasa rakan-rakan guru yang lain pun akan seronok jika hadiah sebegini yang diberi.
1. Pensil 2B
Cukup seronok cikgu kalau anak murid cikgu hadiahkan berkotak-kotak pensil 2B ini sebab anak- anak murid cikgu ni memanjang asyik hilang pensil. Lepas sekotak-sekotak cikgu beli yang baru seminggu dah habis 10 batang. Pensil yang cikgu 'rembat' selepas kursus atau bengkel di hotel pun dah licin. Jadi kalau anak murid cikgu hadiahkan cikgu pensil berkotak-kotak, bolehlah diguna bersama – sama dalam bilik darjah. Cikgu pun tak perlu risau lagi kalau anak murid cikgu hilang pensil.
2. Pensil warna steadler@ faber castle.
Asal mintak dikeluarkan pensel warna maka ramailah anak murid cikgu yang mencebikkan bibir. Masing- masing tak bawaklah, hilang, kawan pinjam dan macam-macam lagi. Ada yang keluarkan dari dalam beg dan diletak atas meja tapi bila dibuka ada lah dua ke tiga batang warna sahaja yang tinggal. Koordinasi mata dan tangan anak- anak murid cikgu ni masih lemah. Sebab tu tulisan pun bukan tahap cakar ayam lagi dah tapi cakar yang tak dapat dikenal pasti spesiesnya. Kalau anak murid cikgu ramai-ramai hadiahkan pensil warna berkotak-kotak, bolehlah cikgu bekalkan setiap kumpulan sekotak pensil warna. Barulah takde lagi murid yang menganga bila diminta mewarna. Kenapa nak jenama steadler atau faber castle ni cikgu? Mahal ni. Sebab kalau pakai pensil warna yang biasa-biasa tu nanti kamu kena tekan kuat – kuat dan akan cepat memenatkan tangan kamu. Nanti kamu pun dah taknak mewarna sebab sakit tangan.
3. Pen marker pelbagai warna.
Sekarang sekolah dah tak pakai kapur. Tak macam dulu-dulu. Bagus sebab tak berdebu. Cuma 'segan' sikit sebab harga isian semulanya pun boleh tahan harganya. Selalunya sebulan akan kering lima atau enam batang pen marker yang pelbagai warna ni. Kalau anak murid cikgu hadiahkan pen marker ni maka bolehlah cikgu kembali menconteng papan putih kelas dengan pelbagai warna. Seronok sikit anak murid cikgu membaca dan belajar.
4. Kertas A4 70 gram.
Ish..biar betul cikgu? Betul. Kita perlu banyak kertas A4. Kalau setiap anak murid cikgu bagi kertas A4 seorang satu rim pun lagi bagus. Boleh cikgu guna untuk fotostat latihan untuk kamu banyak-banyak. Tak perlu cikgu pergi fotostat di kedai –kedai kat luar tu. Penguasaan kemahiran membaca dan menulis anak- anak cikgu ni masih lemah. Perlu banyak latihan. Tidak memadai dengan hanya bergantung pada buku aktiviti yang sedia ada yang diberikan sekolah. Makin banyak kertas A4, makin banyak latihan yang kita boleh buat. Lagi cepatlah kamu pandai membaca dan menulis insya-Allah. Kenapa 70g pulak cikgu? Mesin fotostat kat sekolah kalau pakai 80g asyik sangkut. Cikgu pun tak tahu kenapa.
5. Plastik laminate.
Dalam kepala cikgu ni macam- macam benda nak buat. Macam tahun – tahun sebelum ni cikgu sediakan setiap murid mini white board yang cikgu buat dari kertas A4 putih yang di laminate. Dan cikgu bekalkan bersama pen marker mini yang cikgu beli kat Daiso. RM 5 untuk 5 batang. Tahun lepas 'kopak salak' cikgu bila anak murid cikgu suka sangat menulis atas mini white board tu. 3 hari sekali nak tukar pen marker. Huhuhu dan tak sampai sebulan dah kena buat baru mini whiteboard tu sebab dah hitam dan tak boleh dibersihkan lagi. Tapi hasilnya bagus. Anak-anak murid semuanya suka menulis dan melukis. Bila cikgu takde pun diam je semuanya khusyuk menulis, menyalin dan melukis. Sebab tu kalau kamu nak hadiahkan cikgu plastik laminate ni bolehlah cikgu teruskan projek cikgu ni.
6. Pen merah.
Ini paling mudah. Tak kira yang berapa harga dia atau berapa batang nak bagi pun ok. Memang confirm pakai 2 batang setiap bulan. Tambah-tambah lagi musim exam. Cikgu – cikgu ni kalau takde pen hitam boleh hidup lagi, tapi kalau takde pen merah memang menggelupur.
7. Cop pelbagai gambar
Kamu selalu dapat cop kat buku kamu bila dah siap latihan kan. Haaa..cop yang macam tu lah. Yang ada tulis bagus, gambar piala, bintang atau hadiah dan macam- macam gambar lagi yang menarik. Rakan-rakan kamu pun suka sangat kalau dapat cop tu dalam buku latihan mereka. Jadi kalau cikgu ada banyak cop tu bolehlah cikgu tukar-tukar cop setiap minggu. Anak-anak murid cikgu pun seronok buat latihan sebab boleh dapat macam – macam cop bila dah siap latihan.
Jadi kalau kamu nak juga belikan hadiah untuk cikgu sekolah rendah di hari guru, inilah antara cadangan yang cikgu sediakan. Tak payah pasu punga, bingkai gambar, cawan tembikar atau kotak bunyi – bunyi. Takde tempat dah cikgu nak simpan semua tu. Tapi kalau nak belanja KFC pun ok. Pastikan ayam ada 40 ketul kat dalam tu. Kita makan sama-sama dalam kelas. Kalau tak cukup 40 ketul kamu ambik kentang putar dengan coslow tu. Ayam bagi cikgu. Kalau tak nanti merajuk-rajuk pulak tak cukup ayam.
Cikgu dahulukan sebarang hadiah dari kamu dengan ucapan terima kasih. Tak bagi pun takpa tau. Jangan paksa mak ayah pergi beli hadiah pulak.
Agak-agak kalau bagi senarai macam ni kat anak murid tahun 1 ni dia baca ke tak panjang-panjang ni.?
Credit: Asmadi Abdul Samad
0 Comments