Advertisement

Krisis Air Selangor: Tukar Pengurusan, Masalah Tetap Sama?


Selangor, negeri yang kaya dengan segala kemajuannya, tetapi bila sebut pasal bekalan air, ramai rakyat yang mengeluh kecewa. Ada sajalah krisisnya setiap tahun. Macam dah jadi satu trademark pulak. Tahun demi tahun, meskipun pengurusan sudah bertukar dari SYABAS ke Air Selangor, masalah ni tak pernah selesai.

Tukar nama saja tak cukup kalau isu asas pun tidak diberi perhatian.

Punca-Punca Masalah yang Berlarutan

1. Pencemaran Sungai yang Berleluasa

Sungai utama seperti Sungai Selangor terus dicemari oleh sisa industri, bahan kimia, dan pembuangan haram. Masalah ini sudah lama berlaku, tapi penyelesaiannya masih lagi terumbang-ambing.


Masalah paling terkini adalah kejadian air merah jambu di Sungai Kabul yang mencetuskan kekecohan, hasil pencemaran bahan kimia industri. Bila pencemaran berlaku, loji rawatan terpaksa dihentikan sementara, dan rakyatlah yang jadi mangsa. 

2. Kapasiti Loji Rawatan yang Tidak Mencukupi 

Loji rawatan air di Selangor sering kali gagal memenuhi permintaan rakyat. Dengan pertambahan populasi setiap tahun, keadaan menjadi semakin kritikal. Bila gangguan berlaku, rakyat terpaksa bergantung kepada lori tangki atau membeli air mineral untuk kegunaan harian. Mana perancangan jangka panjang?


3. Masalah Paip Bocor

Salah satu masalah yang paling mengecewakan rakyat adalah paip bocor yang masih belum ditangani dengan baik. Air yang telah diproses hilang begitu saja sebelum sampai ke rumah pengguna akibat sistem paip yang usang dan kerap mengalami kebocoran. Menurut laporan, kebocoran paip menyumbang kepada kehilangan air sebanyak puluhan peratus setiap tahun, tetapi rakyat pula yang terpaksa menanggung akibatnya. Apa yang lebih membebankan, bil air tetap tinggi walaupun jumlah penggunaan sebenar tidak sepadan. Rakyat sudah penat bayar lebih untuk masalah yang bukan mereka lakukan.


4. Pengurusan yang Tidak Berkesan

Tukar nama dari SYABAS ke Air Selangor, tetapi tiada perubahan ketara dari segi keberkesanan. Masalah seperti tekanan air rendah, gangguan bekalan, dan kelemahan komunikasi masih menghantui rakyat. Bila pengurusan tidak proaktif, kesannya adalah kekecewaan besar di kalangan rakyat.

5. Layanan Pegawai yang Mengecewakan

Selain itu, terdapat keluhan tentang layanan pegawai bertugas di Air Selangor. Ramai yang meluahkan rasa kecewa kerana aduan mereka sering kali diabaikan atau tidak diberi perhatian sewajarnya. Pegawai di talian atau di kaunter kadang-kadang dilihat kurang mesra dan lambat memberikan maklumat penting kepada pengguna. Rakyat merasa seolah-olah suara mereka tidak didengar.

6. Masalah pada Aplikasi Air Selangor

Aplikasi yang sepatutnya memudahkan pengguna sering kali tidak berfungsi dengan baik. Ada yang melaporkan kesukaran untuk memuat turun bil, mendapatkan maklumat tentang gangguan bekalan air, atau menggunakan ciri aduan dalam aplikasi tersebut. Bukannya membantu, aplikasi ini kadang-kadang menjadi punca gangguan emosi tambahan kepada rakyat. Beberapa pengguna menyatakan bahawa mereka terpaksa berulang kali cuba mengakses aplikasi dan masih gagal sehingga akhirnya mereka berputus asa.


7. Sumber Air yang Terlalu Terhad 

Selangor terlalu bergantung kepada empangan dan sungai. Bila paras empangan menurun akibat cuaca, atau sungai tercemar akibat sisa toksik, bekalan terus terganggu. Tiada usaha serius untuk mencuba kaedah lain seperti penuaian air hujan, penyahgaraman air laut, atau penggunaan air bawah tanah.

Rungutan Rakyat: Sampai Bila Nak Sabar?

Suara rakyat semakin lantang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka. Antara keluhan yang sering didengar:

  • "Kenapa paip bocor tak dibaiki sampai sekarang? Duit kami bayar bil tu pergi mana?"
  • "Hari-hari gangguan bekalan, macam hidup dalam zaman dulu pula!"
  • "Air Selangor tak buat apa-apa pasal masalah paip lama, tapi rakyat kena tanggung bil tinggi. Memang tak adil!"
  • "Kenapa sungai kita masih dicemari? Mana tindakan tegas? Mana penguatkuasaan?"

Kita seolah-olah dibuli oleh sistem yang tidak cekap. Setiap kali ada gangguan atau krisis, pihak berkuasa hanya beri kenyataan ringkas tanpa pelan tindakan yang jelas. Bila paip bocor, tiada tindakan pantas diambil, menyebabkan rakyat terus rugi dari segi kewangan.

Belum lagi nak kena beli tong air, baldi dan sebagainya untuk menadah air bila ada gangguan bekalan yang sering berlaku tanpa notis awal! Esh, geram! Bayangkan tengah memasak, tiba-tiba tak ada air! Tak ke kalut mencari air dibuatnya?


Apa Langkah Penyelesaian yang Terbaik?

Masalah ini sebenarnya boleh diselesaikan jika semua pihak iaitu Air Selangor, kerajaan negeri, dan rakyat yang sentiasa bersedia untuk bertindak:

  1. Pantau dan Bersihkan Sungai dengan Lebih Kerap

Gunakan teknologi seperti dron dan kamera pengawasan untuk mengenal pasti kilang haram dan pembuangan sisa toksik. Program pembersihan besar-besaran perlu dilancarkan untuk memulihkan kualiti sungai.

  1. Pelaburan dalam Loji Rawatan Air Baharu

Bina loji rawatan yang lebih besar dan gunakan teknologi moden untuk memastikan kapasiti mencukupi untuk kegunaan semua rakyat.

  1. Ganti Sistem Paip Lama

Satu program besar-besaran perlu dilaksanakan untuk menggantikan paip usang. Ini bukan sahaja akan mengurangkan kehilangan air akibat kebocoran, tetapi juga meringankan beban bil air rakyat.

  1. Gunakan Cara Lain untuk Dapatkan Sumber Air

Selangor perlu mencari cara lain untuk mendapatkan bekalan air. Misalnya, kita boleh menggunakan air hujan, proses penyahgaraman air laut, atau memanfaatkan air dari bawah tanah.

  1. Tegaskan Undang-Undang

Pihak yang mencemarkan sungai perlu dikenakan hukuman berat. Jangan biarkan kilang haram terus beroperasi sewenang-wenangnya tanpa penguatkuasaan.

  1. Didik Orang Ramai untuk Jimat Air

Jalankan kempen pendidikan yang menarik supaya rakyat sedar tentang pentingnya menggunakan air secara berhemah.

Sampai Bila Nak Sabar?

Masalah bekalan air bukanlah isu kecil. Pengurusan Air Selangor perlu mengambil langkah serius dan berkesan untuk menangani isu ini. Jangan biarkan rakyat terus menderita dengan gangguan bekalan, bil tinggi, dan pencemaran yang berulang.

 





Post a Comment

0 Comments