![]() |
Kalau sebut pasal kek lapis, mesti terus teringat suasana Hari Raya, kan? Tapi sebenarnya kek lapis ni sesuai je nak buat bila-bila, apatah lagi kalau jenis suka simpan stok pencuci mulut dalam peti. Haa, hari ni Moha nak kongsi resepi yang Si Amar buat semalam, Kek Lapis Coffee Cheese!
Kombinasi rasa kopi yang harum dengan keju yang lemak berkrim ni memang buat sesiapa je ‘repeat’ makan. Nak buat pun seronok, sebab boleh berlayer-layer sambil feeling chef pro dekat dapur.
Jom Moha tunjukkan bahan-bahan dan cara nak buat, step by step! Resepi ni boleh buat 2 biji kek yang berlainan perisa kalau guna loyang 7 x 7 tau. Dah siap mixer semua adunan, bahagi 2. Satu bahagian yang tiada cheese, satu lagi ada cheese. Dua bahagian ni bahagi 2 lagi untuk perisa lain. Maksudnya 2 mangkuk bahagian keju, 2 mangkuk bahagian biasa. Nanti yang biasa ni barulah tambah perisa dan pewarna.
Bahan-bahan:
Bahan asas:
• 450gm salted butter ( Moha guna brand SCS 2 x 227g)
• 1 sudu besar ovalette
• 3 sudu besar gula halus
• 10 biji telur gred A
• 1 tin susu pekat manis (500gm)
• 4 sudu besar kaya
• 200gm Horlicks
• 280gm tepung pau
• 1 sudu kecil esen vanila
Bahan krim dan kopi:
• 250gm krim keju (cream cheese)
• 4 sudu makan serbuk Nescafe
• 1 sachet serbuk Old Town Café (yang 3-in-1 tu pun boleh)
Cara-cara:
1. Pukul Bahan Asas:
Dalam mangkuk besar, pukul mentega, ovalette dan gula halus guna mixer pada kelajuan maksimum sampai kembang dan bertukar warna jadi pucat putih. Ini step penting supaya kek gebu dan naik cantik.
2. Masukkan Telur:
Perlahankan mixer, masukkan telur satu-satu sambil terus pukul. Lepas tu naikkan balik kelajuan, pukul sampai betul-betul gebu dan kembang.
3. Masukkan Bahan Basah & Horlicks:
Tambah esen vanila, susu pekat manis, kaya dan Horlicks. Gaul hingga sebati. Masa ni bau dia pun dah wangi!
4. Masukkan Tepung:
Slowkan mixer, masukkan tepung sedikit demi sedikit. Jangan terburu-buru, pastikan semua bahan bercampur rata. Akhir sekali, matikan mixer dan kaup balik adunan guna spatula untuk pastikan takde yang terlepas gaul kat dasar.
5. Krim Keju:
Dalam bekas lain, pukul krim keju sampai lembut dan licin. Ketepikan.
6. Bahagi Adunan:
Bahagikan adunan kepada dua bahagian:
• Bahagian 1 (870gm): Campurkan dengan serbuk Nescafe & serbuk kopi Old Town.
• Bahagian 2: Campurkan dengan krim keju yang dah dipukul tadi.
7. Panaskan Oven:
Panaskan oven pada suhu 180°C selama 10 minit.
8. Bakar Lapisan Pertama:
Lapisan pertama guna api atas & bawah, suhu 180°C. Letak loyang di rak tengah. Ambil 170gm adunan kopi, ratakan dengan belakang sudu.
9. Lapisan Seterusnya:
Lepas tu, guna api atas je pada suhu 170°C, rak bawah. Setiap lapisan ambil masa dalam 8 minit. Tekan manja setiap lapisan yang dah masak (boleh guna penekan daging burger) sebelum tambah yang baru untuk elak berongga.
10. Selang-seli:
Ulang proses lapisan kopi dan lapisan keju ikut susunan yang disukai—tapi biasanya 3 kopi, 1 keju, dan ulang sampai habis. Boleh juga buat corak sendiri! Si Amar ada juga tabur biskut oreo antara lapisan tu.
11. Sejukkan:
Bila dah siap bakar semua lapisan, sisip tepi loyang kek dengan spatula. Biarkan dalam 20 minit. Baru keluarkan perlahan-lahan. Jangan biarkan sejuk dalam loyang takut kek jadi melengkung.
12. Simpan & Potong:
Sejukkan sepenuhnya sebelum dipotong. Lagi best kalau balut dengan plastik wrap dan simpan dalam peti. Esoknya, bila makan.. ya ampun, lembut dan padu rasa dia!
Tips Manja Dari Dapur:
• Nak senang ratakan lapisan, guna belakang sudu makan. Nak kek nampak lapisan, gelapkan sikit permukaan setiap lapisan. Kalau tak nak nampak sangat lapisan dia, cukup setakat kek dah masak, terus boleh letak lapisan yang baru.
• Kalau oven jenis panas sangat, boleh turunkan suhu sikit supaya lapisan tak cepat hangus.
• Kek ni lagi sedap bila dah semalaman dalam peti sejuk. Rasa keju dan kopi dia bersatu dengan lebih harmoni!
![]() |
Adunan satu lagi Moha buat perisa strawberi tapi pewarna merah takdelah pulak. Jadi letak jelah warna biru. |
Resepi ni memang ambil masa sikit, tapi percayalah.. bila dah siap, puas hati sangat! Sesuai nak buat hadiah, jamuan, atau stok manis-manis bila mood malas datang. Kalau ada yang cuba, jangan lupa kongsi hasilnya ya!
0 Comments